Tuesday, July 25, 2006




Hizbullah beri tentangan sengit
SERANGAN pejuang Hizbullah menghalang kemaraan tentera Israel yang meneruskan serangan buat hari yang ke-13 di sempadan Lebanon, semalam. - Reuters.
BEIRUT 24 Julai – Pertempuran sengit meletus hari ini antara pejuang Hizbullah dengan askar Israel yang mara lebih jauh ke selatan Lebanon untuk memasuki satu lagi kubu kuat pergerakan itu.
Tentera Israel menyatakan sekurang-kurangnya sembilan askarnya cedera.
Bagaimanapun stesen televisyen Al- Jazeera melaporkan dua askar Yahudi terbunuh dan ramai lagi cedera dalam pertempuran dekat kampung Maroun Al-Ras, di sempadan Israel-Lebanon yang ditawan oleh askar Israel kelmarin.
Satu kenyataan Hizbullah pula menyebut pejuangnya telah membedil lima kereta kebal Israel dan askar di
dalamnya terbunuh atau cedera.
Askar Israel menawan puncak sebuah bukit di pekan Bint Jbail berikutan bedilan sengit dengan meriam tetapi belum menawan pekan itu.
Bunyi tembakan dan letupan kedengaran hampir berterusan di selatan Lebanon dari sempadan sebelah Israel dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara.
Askar Israel yang cedera kelihatan diusung balik ke Israel.
Bint Jbail terletak kira-kira dua kilometer ke utara Maroun Al-Ras, satu lagi kubu kuat Hizbullah.
Pada hujung minggu askar Israel menawan Maroun Al-Ras yang terletak tidak sampai 500 meter dari sempadan
.
Tentera Israel menyatakan operasi tentera daratnya di Lebanon diperluaskan setelah dihadkan sebelum ini kepada serangan terhadap sasaran tertentu dekat sempadan.
“Skop operasi terus diperluaskan dan kami meneruskan kemaraan,” kata Brigedier Jeneral Alon Friedman kepada Radio Tentera Israel
Friedman berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga 10 hari bagi mencapai matlamat yang kami tetapkan termasuk untuk menghentikan serangan roket Hizbullah.
Serangan Israel setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 381 orang di Lebanon termasuk 20 askar dan
11 pejuang Hizbullah, kata pegawai keselamatan.
Ratusan ribu rakyat Lebanon telah melarikan diri.
Sejumlah 37 rakyat Israel terbunuh meliputi 17 penduduk awam yang terkena bedilan roket Hizbullah dan 20 askar terbunuh
dalam pertempuran itu.
– Agensi

Comments: Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]